Novel Risik Pada Hati Pdf Full Episode

Redaksi PetiknetSabtu, 17 September 2022 | 05:58 WIB
Baca Novel Risik Pada Hati Pdf Full Episode
Baca Novel Risik Pada Hati Pdf Full Episode

Sinopsis Novel Risik Pada Hati

ENTAH kenapa, canggung rasanya langkah, sebaik sahaja kaki melangkah ke hadapan rumah yang tersergam gah ini. Kisah yang dikutip sejak dia mula menjejakkan kaki di rumah ini, terasa masih kuat menghiris sekeping hatinya.

“Mama hantar sampai sini saja ya, sayang.” Umar berpeluk tubuh sambil melentokkan kepala. Tanda protes.

“Jom aaa, mama. Mama…maaa.” Dia tersenyum kelat. Wajah Umar dipandang bersama rasa yang bercampur-baur. Sedih dan sayu. Dia menjengah. Sepi. Kemudian dia pandang wajah Umar nampak berharap benar.

“Mama dah lambat sangat nak pergi kerja ni. Nanti, mama call Umar. Okey?” Umar sudah separuh terlentok kepalanya. Ada rasa serba-salah tetapi, dia tahu dia tidak boleh lembut hati.

Wajah Umar yang nampak sedikit kecewa itu, diusap lembut sambil mencium kedua-dua belah pipi anak itu. Lama kucupannya menandakan beratnya hati mahu berpisah dengan anaknya itu. Tetapi, apa kan daya. Kesempatan yang diperoleh ini pun sudah dirasakan sangat besar. Sekurang-kurangnya dia masih boleh bertemu dengan Umar setiap hujung minggu sekali. Sudah cukup untuk menghilangkan rasa rindu yang sebenarnya tidak pernah surut pun.

“Tak bolehlah sayang. Mama nak kena pergi kerja dulu. Nanti kita jumpa lagi, ya?”

Lambat-lambat Umar mengangguk. Berat hati, namun anaknya ternyata seorang anak yang patuh. Mendengar kata. Sekuntum senyum diukir sebelum dia memimpin tangan Umar menuju ke pintu pagar yang sedikit terbuka. Pegangan tangan dilepaskan. Tegak dia di situ menunggu Umar masuk ke kawasan rumah.

“Aisya?”

Dia kaku. Mendengar namanya dipanggil, dia mengangkat muka perlahan-lahan.

“Kenapa berdiri kat situ je? Marilah masuk.”

Liur ditelan terasa pahit. Wajah tenang di hadapannya itu dipandang dengan rasa serba-salah.

“Abah…” Dalam tidak mahu, dia tampil mendekat sambil menghulurkan tangan. Perlahan bersalaman dengan perasaan bercampur-baur.

“Masuklah dulu.”

Laju dia menggeleng.

“Aisya nak cepat ni. Dah lambat nak pergi kerja.”

Haji Kasim tersenyum nipis.

“Tak apalah. Dah sampai kan? Marilah masuk dulu. Takkan dah tak sudi nak jumpa kami lagi? Marilah masuk.”

Sekali lagi dia menggeleng. Tidak terlintas rasa itu di hatinya. Cuma, dia tidak gagah untuk terus berada di sini. Biarlah dia terus jaga batasnya. Rumah besar ini, bukan tempatnya. Malah tiada ruang pun untuknya di sini.

“Kami ada buat salah ke, sampai Aisya langsung tak nak tengok muka kami dah?”

Lebih laju gelengannya kali ini.

“Tak. Jangan cakap macam tu, abah. Abah dengan umi tak ada salah apa pun pada Aisya. Janganlah cakap macam tu. Sedih Aisya dengar. Aisya dah lambat nak pergi kerja ni. Itu sebabnya. Tak ada sebab lain, abah. Lain kali Aisya singgah ya.”

Senyum Haji Kasim sedikit melebar.

“Abah tak percaya. Hari ni pun, ada depan rumah abah ni, sebab Husin tak dapat jemput Umar, kan?”

Aisya diam. Tebakan bapa mentuanya itu tepat. Kalau tidak kerana pemandu bapa mentuanya itu sedang bercuti, memang dia tidak akan jejakkan kaki di sini.

“Umar… ajak mama masuk. Nenek ada kat belakang sana. Cakap dengan mama, ramai yang tunggu mama balik ke sini.”

Muktamad. Haji Kasim berlalu. Dia tercegat. Perlukah dia akur? Sungguh dia tidak mahu berlama di sini. Bapa mentuanya yang sudah agak jauh melangkah, dipandang seketika. Sangat biadab rasanya kalau dia tidak patuh pada pelawaan itu. Perlahan dia menarik nafas. Mungkin dia boleh singgah menyapa seketika kemudian terus berlalu. Tidak lama. Cuma sebentar. Hati berbisik sendiri. Meyakinkan diri sendiri.

“Mama?”

Aisya tersentak. Umar sudah menghulurkan tangan. Dia mengukir senyum yang jelas dipaksa sebelum memaut jemari kecil milik Umar. Melangkah mengikut langkah yang diatur oleh Umar. Sambil itu matanya liar memerhati. Rumah ini tidak banyak berubah. Yang berubah cuma perabot dan susun aturnya.

Pat arrr maaa (cepatlah mama).”

Aisya diam tidak menjawab. Cuma, dari jauh dia melihat Hajah Wardah sedang duduk menikmati sarapan barangkali di tepi kolam.

“Nek!” Pegangan di tangannya terlepas sudah. Umar girang berlari mendapatkan neneknya.

Hajah Wardah yang menyedari kedatangan cucunya, terus bangkit bersama senyum lebar. Dari jauh mendepang tangan menanti Umar singgah ke pelukannya. Erat tubuh kecil itu dipeluk, sebelum dileraikan. Tersenyum pada cucu yang bijak tingkah lakunya. Tanpa disuruh, jemarinya ditarik lalu dikucup.

“Rindunya nenek kat cucu nenek ni. Umar rindu nenek tak?”

Umar tergelak sambil mengangguk. Aisya diam memandang. Langkah diatur lambat-lambat.

“Umi…”

Hajah Wardah mengangkat muka. Jelas wajah itu sedikit terkejut sebelum senyum lebar terukir di bibirnya. Aisya turut melarik senyum.

“Aisya… lama sangat umi tak jumpa Aisya…”